Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

KURSUS IBADAT HAJI DAN UMRAH BAGI MUSIM HAJI TAHUN 1445H/2024M

KURSUS IBADAT HAJI DAN UMRAH BAGI MUSIM HAJI TAHUN 1445H/2024M

​بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم

Negara Brunei Darussalam, Jumaat, 14 Rejab 1445H bersamaan 26 Januari 2024-Kursus Ibadah Haji dan Umrah bagi Musim Haji tahun 1445H/2024M bagi bakal-bakal jemaah haji Negara Brunei Darussalam diadakan secara serentak di keempat-empat daerah bermula hari ini, Jumaat, 14 Rejab 1445H bersamaan 26 Januari 2024M.

Kursus dikendalikan oleh Jabatan Urusan Haji, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Bahagian Bimbingan Haji dan Umrah.

Seramai 959 orang bakal jemaah haji telah hadir pada sesi pertama kursus, iaitu 720 orang di Daerah Brunei dan Muara, 118 orang di Daerah Belait, 94 orang di Daerah Tutong dan 27 orang di Daerah Temburong.

Antara objektif kursus ini diadakan adalah untuk membantu bakal-bakal jemaah haji mempelajari dan memahami di samping meningkatkan pengetahuan mengenai manasik haji secara teori dan praktikal agar bakal jemaah dapat melaksanakan ibadat haji dengan teratur dan sempurna. Kursus juga bertujuan untuk menyelaras dan menyeragamkan hukum hakam berkaitan ilmu manasik haji, umrah dan ziarah.

Selain itu, kursus juga bertujuan untuk memberikan gambaran dan keadaan terkini di Tanah Suci melalui video klip dan gambar-gambar yang dikongsikan oleh para pengkursus seperti Masjidil Haram di Mekah, Masjid Nabawi di Madinah, Padang 'Arafah dan Mina.

Para pengkursus Ibadat Haji yang terpilih adalah terdiri daripada mereka yang mempunyai ilmu yang luas dalam bidang fiqh khususnya mengenai manasik haji dan umrah serta mempunyai pengalaman mengajar dan memberikan bimbingan haji kepada bakal jemaah haji yang dikendalikan oleh Jabatan Urusan Haji sebelum ini. Mereka terdiri daripada Guru Ugama Terlatih dan Pegawai Pelajaran, Jabatan Pengajian Islam, Pensyarah daripada Universiti Islam Sultan Sharif Ali [UNISSA], Pegawai-Pegawai dan Imam-Imam dari Jabatan Hal Ehwal Masjid, Pegawai-Pegawai dari Jabatan Hal Ehwal Syariah dan Pusat Da'wah Islamiah, serta para pegawai dan kakitangan Kementerian Hal Ehwal Ugama yang telah bersara dan mempunyai sijil tauliah dari Majlis Ugama Islam Brunei [MUIB].

Sebanyak lapan [8] buah sekolah ugama terpilih di keempat-empat daerah digunakan sebagai pusat kursus tersebut iaitu, empat [4] buah di Daerah Brunei dan Muara, dua [2] buah di Daerah Belait dan masing-masing sebuah sekolah di Daerah Tutong dan Temburong.

Dengan adanya kursus bimbingan haji ini diharapkan agar bakal jemaah haji Negara ini akan dapat memahami manasik haji dan umrah secara tepat, teratur dan sempurna dan seterusnya mendapat haji yang mabrur. Bakal jemaah haji juga diharapkan agar mengambil maklum dan perhatian serta mematuhi apa jua dasar dan peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak-pihak bekenaan Kerajaan Arab Saudi.

Kursus Ibadat Haji bagi Musim Haji Tahun 1445H/2024M akan diadakan pada setiap hari Jumaat dan Ahad sebanyak 10 sesi bermula jam 8.00 pagi hingga 10.30 pagi secara serentak di keempat-empat daerah, bermula 26 Januari 2024M hingga 08 Mac 2024M di Pusat-Pusat Kursus yang telah ditetapkan.

 




Attachments