Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

PENERBANGAN KETIGA BAKAL JEMAAH HAJI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM BAGI MUSIM HAJI TAHUN 1445H/ 2024M

​بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم​

Berakas, Sabtu, 16 Zulkaedah 1445 bersamaan 25 Mei 2024–Penerbangan Ketiga bakal jemaah Haji Negara Brunei Darussalam telah bertolak meninggalkan Negara Brunei Darussalam pagi tadi dengan menggunakan pesawat Pesawat Diraja Brunei (Royal Brunei) BI4205. Penerbangan dijangka tiba di Madinah pada jam 2:42 petang waktu tempatan (waktu Madinah).

Penerbangan membawa jumlah keseluruhan 253 orang bakal jemaah Haji.

Pada Penerbangan Ketiga ini, seramai 44 orang bakal jemaah Haji dari Al-Hijrah Travel & Tours Sdn. Bhd. iaitu 19 orang lelaki dan 25 orang perempuan; At-Taqwa Travel Tours Sdn. Bhd seramai 54 orang bakal Jemaah Haji iaitu 31 orang lelaki dan 23 orang perempuan; Dar El-Ehsan Travel & Tours Sdn. Bhd. seramai 59 orang bakal jemaah Haji iaitu 31 orang lelaki dan 28 orang perempuan;  Raudah Al-Amin Sdn. Bhd seramai 28 orang bakal jemaah Haji iaitu 14 orang lelaki dan 14 orang Perempuan; dan Titian Travel & Tours Sdn. Bhd seramai 61 orang bakal Jemaah Haji iaitu 27 orang lelaki dan 34 orang Perempuan. Turut mengiringi bakal jemaah Haji bagi Penerbangan Ketiga ialah seramai 3 orang pegawai-pegawai dari Pejabat Urusan Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam (Perubatan).

Juga mengiringi, para pegawai dari Syarikat Darussalam Services Sdn.Bhd. (DSSB); Syarikat Al-Hijrah Travel & Tours Sdn.Bhd; Syarikat At-Taqwa Travel Tours Sdn.Bhd; Syarikat Dar El-Ehsan Travel Sdn. Bhd; dan Syarikat Raudah Al-Amin Sdn. Bhd.

Hadir bagi mengucapkan selamat belayar di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei ialah Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama; Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II; Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad Isham bin Jaafar, Menteri Kesihatan; Tuan Yang Terutama Mohammed Abdullah Al Buraithin, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kerajaan Arab Saudi ke Negara Brunei Darussalam.

Juga hadir, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Dato Paduka Seri Awang Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali, Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei; Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Awang Haji Maswadi bin Haji Mohsin, Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan; Yang Mulia Dr. Hajah Anie Haryani binti Haji Abd Rahman, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan), Kementerian Kesihatan; Yang Mulia Awang Misle bin Haji Abd Karim, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), Kementerian Hal Ehwal Ugama; dan Yang Mulia Awang Haji Hardifadhillah bin Haji Mohd Salleh, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Doa Selamat dibacakan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Suhaili bin Haji Metali Al-Hafiz.  Manakala Azan dilaungkan oleh Yang Mulia Imam Haji Hamdini bin Haji Garif, Pegawai Masjid Omar 'Ali Saifuddien.

 

 

​Foto: I-Ready BPAAM


Attachments