
بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
Berakas, Selasa, 4 Rabiulakhir 1446 bersamaan 8 Oktober 2024 - Mesyuarat Persiapan Pengurusan Haji Bagi Musim Haji Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi telah diadakan pada petang ini di antara Kementerian Hal Ehwal Ugama, Negara Brunei Darussalam bersama Kementerian Haji dan Umrah, Arab Saudi secara atas talian.
Mewakili Kementerian Hal Ehwal Ugama pada mesyuarat tersebut ialah Yang Mulia Awang Haji Muhammad Rosli bin Haji Ibrahim, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama (selaku Pengerusi); Yang Mulia Dayang Norhafizah binti Haji Mohd Sofian, Kuasa Usaha Sementara, Kedutaan Negara Brunei Darussalam di Riyadh Arab Saudi (selaku wakil Tuan Yang Terutama Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darusslaam ke Arab Saudi); Yang Mulia Awang Salminan bin Haji Burut, Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Kesejahteraan), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri; Yang Mulia Awang Haji Khairul Amri bin Haji Bolhassan, Setiausaha Ketiga (selaku wakil Pemangku Konsul Agung Negara Brunei Darussalam di Jeddah); Yang Mulia Awang Haji Abdullah bin Haji Mohamad, Pengarah Urusan Haji, Kementerian Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Awang Haji Azmi bin Haji Abdul Rahim, Pemangku Pengarah Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri; Yang Mulia Awang Haji Mohd Hisham bin Awg Haji Maidin, Pemangku Penolong Pengarah Urusan Haji, Kementerian Hal Ehwal Ugama; dan Yang Mulia Awang Haji Muhammad Naqib bin Haji Awang, Ataci Perhubungan Haji, Konsulat Agung Negara Brunei Darussalam di Jeddah.
Mesyuarat berkenaan membincangkan mengenai peraturan-peraturan dan kehendak-kehendak yang berkaitan dengan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan jemaah haji Negara Brunei Darussalam dan isu-isu yang berbangkit dalam pengurusan haji pada musim haji tahun lalu bagi tujuan penambahbaikan dan memastikan kelancaran pengurusan haji pada musim haji tahun 1446H / 2025M.
Hasil daripada mesyuarat ini akan dibawa ke mesyuarat peringkat Menteri pada bulan Januari nanti, semasa menghadiri 4th Edition of the Hajj Conference and Exhibition di Arab Saudi.
