Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

KURSUS AMALI (PRAKTIKAL) IBADAT HAJI BAGI BAKAL JEMAAH HAJI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM BAGI MUSIM HAJI TAHUN 1443H/2022M

بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم

Bandar Seri Begawan, Ahad, 05 Zulkaedah 1443H bersamaan 05 Jun 2022M-Jabatan Urusan Haji Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Bahagian Bimbingan Haji dan Umrah pagi tadi telah mengadakan Kursus Amali (Praktikal) Ibadat Haji. Kursus praktikal itu diadakan di Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha Kampong Katok.

Kursus tersebut adalah kesinambungan daripada kursus teori ibadat haji yang telah selesai dilaksanakan secara serentak di ketiga-tiga buah daerah di Negara ini pada setiap hari Jumaat dan Ahad sebanyak 7 sesi bermula dari 12 Syawal 1443H bersamaan 13 Mei 2022M hingga  13 Zulkaedah 1443H bersamaan 03 Jun 2022M.

Objektif Kursus Amali (Praktikal) Ibadat Haji adalah bagi memberikan tunjuk cara pemakaian ihram yang betul bagi jemaah lelaki dan pemakaian telakong bagi jemaah perempuan dan juga

cara-cara mengerjakan ibadah haji seperti Tawaf; Sa’ie dan; melontar Jamarat.

Selain itu, untuk menyampaikan maklumat penting kepada para jemaah, memberikan nasihat-nasihat yang bermanfa’at dalam melaksanakan ibadat haji sewaktu berada di Tanah Suci dan juga dikhendaki mematuhi peraturan-peraturan yang mesti dipatuhi oleh semua Jemaah sepertimana yang telah ditetapkan oleh pihak Kerajaan Arab Saudi.

Terdahulu Kursus Amali Haji pada pagi tadi didahului dengan Bacaan Surah al-Fatihah dan Doa Selamat dipimpin oleh Yang Mulia Awang Haji Abdul Aziz bin Haji Ghani, Pegawai Hal Ehwal Masjid. Diikuti dengan ucapan Alu-aluan oleh Yang Mulia Dayang Hajah Zunainah binti Haji Gunong, Pemangku Penolong Pengarah Urusan Haji dan diteruskan dengan Kursus Praktikal Ibadat Haji Tawaf; Sa’ie dan Melontar.

Dengan adanya Kursus Amali (Praktikal) Ibadat Haji ini, adalah dihasratkan para bakal jemaah haji di Negara ini akan dapat memahami dan mengetahui pelaksanaan ibadat haji dengan betul dan sempurna bagi meraih haji yang mabrur.

Dimaklumkan juga kepada bakal Jemaah Haji bahawa Taklimat Kesihatan akan diadakan pada Hari Jumaat, 10 Zulkaedah 1443H bersamaan 10 Jun 2022M bertempat di Dewan Tarbiyah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, mulai jam 8.30 pagi.


Attachments